Follow Us

 

BUTTON

 

Kampung Padang Kerasak, Kuala Nerang dipilih menerima bantuan untuk meningkatkan taraf hidup dalam Projek Pembangunan Ekonomi Mampan Ibu Tunggal Dan Komuniti B40: Ternakan Ayam Kampung Berkelompok.

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr. Zurina Abdul Hamid berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan ramai yang terkesan dan terjejas pendapatan.

“Justeru, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) berperanan membantu wanita terutamanya yang terjejas sepanjang Covid-19 sama ada dalam konteks kesejahteraan, kesaksamaan mahupun kewangan. Program ini mempunyai kelebihan yang tersendiri kerana melibatkan sistem sokongan sosial dalam kalangan peserta di mana akan membina hubungan kerjasama erat di kalangan peserta dalam komuniti seterusnya akan menjadi satu salah faktor kejayaan projek.

“Kesan Covid-19 bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara, malahan menyebabkan tekanan mental dan emosi dalam kalangan masyarakat.

“Oleh itu, JPW cuba membantu membina kesejahteraan mental melalui pembinaan keyakinan diri serta kekuatan kepimpinan kendiri bagi kelangsungan hidup seterusnya memperbaiki kehidupan,” ucapnya pada Majlis Pelancaran  Projek Pembangunan Ekonomi Mampan  Ibu Tunggal Dan Komuniti B40: Ternakan Ayam Kampung Berkelompok, semalam.

Beliau berkata, Projek Ternakan Ayam Kampung Berkelompok merupakan satu program yang baik kerana mendidik kita untuk tidak mengharapkan pendapatan daripada majikan, malah mendidik kita menjadi majikan sendiri.

“Program ini jika dilaksanakan dengan cara yang terbaik dan disertai dengan tawakal serta doa, sudah pasti dapat mencapai hasil yang disasarkan,” jelasnya.

Menurutnya, sepanjang projek dijalankan rakan industri dan Food Security, Innovation & Development Research Centre (FInDER), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi Dan Logistik (STML) UUM akan membantu peserta dengan membuat pemantauan dan berkongsi pengetahuan melalui enam modul yang disediakan seperti Asas Keusahawanan, Pengurusan Kewangan, Pemasaran, Teknologi Maklumat & Komunikasi, Pengurusan Rantaian Bekalan Ayam dan Penternakan Ayam Kampung.

“Tambahan pula dengan modul yang amat baik ini saya percaya peluang  yang diberikan dapat memberikan pendedahan terbaik dan ayam yang sihat untuk dipasarkan bagi  memperoleh pendapatan,” ujarnya.

“Tahniah kepada FInDER dan Coconut Island Resources Sdn. Bhd. kerana menjayakan program ini dan saya berharap peserta bukan sahaja mendapat ayam percuma malah mendapat kelas secara percuma dan pemantauan serta bimbingan berterusan dari UUM.

“Jadi, ambil peluang belajar bersungguh-sungguh untuk diaplikasikan dalam program ternakan, gunakan peluang, ilmu yang dipelajari untuk menimba pengalaman melalui praktikal sekali gus mengembangkan ekonomi pada masa akan datang,” ujarnya.

Hadir sama,  Dekan STML, Prof. Dr. Nor Hasni Osman, Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Kedah, Aisa Azira Abdul Aziz dan Penghulu Mukim Tekai Kanan, Ashraf Samsudin.

  • 00.png
  • 01.png
  • 1.png
  • 06.png
  • 8.png
  • 10.png
  • 11.png
  • 41.png
  • 51.png
  • 61.png
  • 71.png
  • 81.png
  • 91.png