Follow Us

button login

UUM ONLINE: Kepakaran penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak dapat disangkal apabila Dr. Risyawati Mohamed Ismail dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) telah dilantik untuk mengetuai kerjasama dengan pengilang minuman botani dari Perlis bagi memenuhi kehendak keselamatan makanan dan kehendak pengguna menerusi pensijilan Good Manufacturing Practice (GMP).

Menurutnya, dia mengambil masa hampir dua tahun untuk menaiktaraf Syarikat Sabr Ad-Dhuha bagi memenuhi spesifikasi GMP tersebut.

Katanya, sepanjang tempoh itu, dia bersama syarikat terbabit telah membentuk sistem, membangunkan fasiliti dan sistem operasi bertaraf GMP untuk seluruh kawasan kilang.

“Projek ini juga melibatkan pemindahan pengetahuan melalui latihan dan bimbingan rapi untuk memastikan syarikat tersebut patuh kepada piawaian pengilangan GMP dan mampu mengekalkan kepatuhan terhadap piawaian keselamatan makanan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sepanjang projek ini dijalankan, semua aspek operasi pembuatan produk telah ditambah nilai dan melalui proses analisis yang ketat bagi memastikan keperluan pengilang GMP dipenuhi dengan lengkap,” katanya.

Tambahnya, audit pensijilan telah dilakukan oleh tiga pegawai KKM dan Syarikat Sabr Ad Dhuha telah menerima penarafan GMP secara rasmi pada Mei 2020.

Menurutnya, dia gembira kerana berjaya melahirkan pengilang makanan bertaraf GMP pertama di Perlis kerana pensijilan GMP bukan sahaja mampu menunjukkan tahap kepatuhan pengilang terhadap aras keselamatan makanan yang tinggi, malah ia juga sebagai penanda aras bagi memastikan kualiti keseluruhan operasi kilang berada di tahap yang cemerlang dan selaras dengan piawaian dunia.

Katanya, peranan agensi seperti MARA dalam membantu untuk meningkatkan potensi pengilang-pengilang dari insutri kecil dan sederhana (IKS) di Perlis sangat penting bagi bersaingan sebagai pengeluar produk yang mampu ke pasaran global.

Syarikat Sabr Ad Dhuha Enterprise ditubuhkan pada 22 September 2011 dengan status perniagaan tunggal yang diasaskan oleh anak kelahiran Perlis, Mahadzir Zakaria yang merupakan lulusan Sarjana Pengurusan Perniagaan dari universiti di New Zealand dan juga merupakan bekas Ketua Pegawai Operasi Royal Brunei Catering, anak syarikat Penerbangan Royal Brunei Airline.

Bermula dari tahun 2015, syarikat ini telah mempelopori penghasilan jus botani yang diformulasikan sendiri dan kini mempunyai tiga produk utama iaitu minuman campuran botani mengandungi madu Tualang, minuman campuran botani Al-Khamsah Plus yang mengandungi madu kelulut Borneo dan madu kelulut Borneo Premium.

Produk Syarikat Sabr Ad Dhuha kini berjaya dipasarkan di seluruh Malaysia dan negara luar seperti Singapura, Brunei dan China.

  • 0.jpg
  • 1.png
  • 2.png
  • 4.png
  • 5.png
  • 6.png
  • 7.png
  • 8.png
  • 9.png