Follow Us

 

BUTTON

petron

UUM ONLINE: Setiap hari kita dikejutkan dengan kemalangan mengerikan di dada akhbar, kaca televisyen mahupun media sosial yang mengakibatkan cedera parah sehingga kehilangan nyawa.

Melihat statistik kemalangan jalan raya yang semakin membimbangkan di Malaysia, dua penyelidik UUM, Dr. Rohafiz Sabar dan Dr. Nur Khairiel Anuar berjaya mencipta Sign MY Way.



Dr. Rohafiz Sabar berkata, produk berasaskan penyelidikan itu merupakan produk inovasi untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga keselamatan di jalan raya serta mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.

“Sign MY Way merupakan simulasi pembelajaran berkonsepkan gamifikasi dalam pengurusan keselamatan pengangkutan.

“Produk ini terhasil setelah dua tahun terlibat dengan penyelidikan, advokasi dan kempen keselamatan jalan raya,” ujarnya.

Menurutnya, Sign MY Way berjaya dikomersilkan dengan memberi fokus kepada usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan keselamatan jalan raya bagi kumpulan sasaran seperti pelajar di sekolah rendah, menengah dan universiti.

Jelasnya, Sign MY Way digunakan secara meluas dalam pembelajaran berasaskan perkhidmatan (service learning) dan pembelajaran mendalam (deep learning) kepada pelajar serta masyarakat di sekitar negeri Kedah khususnya dan akan diperluas ke seluruh Malaysia.

Rohafiz menjelaskan, simulasi yang berbentuk gamifikasi ini dibangunkan sebagai bahan pengajaran interaktif untuk meransang minat pelajar dan kumpulan sasaran menerusi program keselamatan jalan raya secara bersepadu.

Usaha ini melibatkan kerjasama strategik antara The Centre for Logistics and Transport (CeLT), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), UUM dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Majlis Keselamatan Jalan Raya, Kedah, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (sektor sekolah rendah dan menengah), agensi penguatkuasa (Polis Di Raja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan, Kedah) dan Petron Malaysia.

Sign MY Way memenangi pingat emas pada Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2019 di UTHM, Batu Pahat, Johor, baru- baru ini.

Nur Khairiel teruja produk ini mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar sekolah khususnya.

“Budak sekolah memang suka, mereka seronok bermain dengan kawan-kawan sambil bertanyakan soalan berkaitan keselamatan jalan raya jadi Sign MY Way bukan sekadar alat permainan malah dapat menimba pengetahuan baru yang cukup bermanfaat,” ujarnya.

Luahnya, Sign MY Way sesuai digunakan untuk pembangunan program keselamatan jalan raya, integrasi antara pembelajaran berasaskan perkhidmatan bagi kumpulan sasaran dan meningkatkan keupayaan pemikiran kritis dan penyelesaian masalah bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya.

Beliau berharap tanggungjawab mereka sebagai penyelidik dan pendidik dapat diteruskan lagi dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keselamatan jalan raya dan merancakkan lagi kempen keselamatan jalan raya di seluruh Malaysia.

  • 00.png
  • 01.png
  • 1.png
  • 06.png
  • 8.png
  • 10.png
  • 11.png
  • 41.png
  • 51.png
  • 61.png
  • 71.png
  • 81.png
  • 91.png