Follow Us

 

BUTTON

Industri halal semakin berkembang pesat dan mendapat permintaan tinggi di peringkat global. Menyedari akan potensi besar industri ini yang boleh menyumbang kepada ekonomi, Kerajaan turut giat berusaha menjadikan Malaysia sebagai hab halal dunia.

Bagi menyemarakkan lagi pembangunan dan kemajuan industri halal khususnya di Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menubuhkan Makmal Halal Asia atau Asian Halal Laboratory (AHAL) bagi melonjakkan lagi agenda penyelidikan bidang pengurusan industri Halal.

Ditubuhkan pada Disember 2015, AHAL merupakan salah satu SCoE (School Centre of Excellent) di bawah Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) yang menumpukan operasi halal, rantaian bekalan halal, pengurusan halal, pemasaran halal dan cara hidup halal.

AHAL dinaungi oleh Dekan STML, Profesor Madya Dr. Shahimi Mohtar, dan Profesor Madya Dr Siti Norezam sebagai penasihat unit.

Bagi membentuk pasukan penyelidikan yang kuat dalam kalangan sarjana-sarjana Asia untuk menangani isu-isu halal dari pelbagai perspektif seperti perniagaan dan pengurusan, sosiologi dan antropologi, satu unit penyelidikan yang diketuai oleh pensyarah kanan STML, Dr Risyawati Mohamed Ismail juga telah ditubuhkan.

Pasukan penyelidikan ini terdiri daripada tujuh felo penyelidik pelbagai disiplin dari UUM dan tiga dari universiti luar iaitu dari National University of Singapore, Beifang University of Nationalities dan Ningxia University, China. Kerjasama antara penyelidik ini diharap dapat menyumbang kepada ekosistem halal yang sentiasa berkembang.

Selain kerjasama akademik, AHAL juga terlibat dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam industri halal, termasuk Halal Industry Development Corporation (HDC), beberapa taman halal dan pengeluar makanan halal tempatan.

Dalam usaha mereka untuk menggerakkan industri halal Malaysia ke tahap lebih tinggi, AHAL juga membentuk kerjasama dengan beberapa universiti tempatan seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sejak penubuhannya AHAL telah menjalankan pelbagai aktiviti antaranya Wacana Akademik Halal bertajuk ‘Global Halal Markets: Challenge and Opportunities’ oleh Prof Hisao Tomizawa, seorang penyelidik dalam bidang halal daripada Universiti Shizuoka, Jepun yang menjalankan pelbagai penyelidikan yang memberi tumpuan kepada gaya hidup dan budaya di Malaysia.

AHAL juga menerima kunjungan kumpulan penyelidik halal dari UiTM Arau pada April lalu diketuai Dr. Sarina Muhamad Nor. Dalam kunjungan tersebut kumpulan penyelidik dari UiTM itu menyuarakan minat untuk bekerjasama lebih rapat dengan AHAL dalam beberapa isu yang menjurus ke arah kerjasama antara kedua-dua pihak untuk kebaikan bersama dan melengkapkan lagi komponen penyelidikan halal di Malaysia.

Beberapa ahli penyelidik AHAL yang diketuai oleh Dr. Risyawati Mohamed Ismail turut menghadiri 13th International Halal Showcase, MIHAS 2016 yang bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 30 Mac 2016 sehingga 2 April 2016.

Semasa pameran berlangsung, lebih daripada 300 buah syarikat menghadiri pameran. Pembentangan penyelidikan halal juga berlangsung sekali gus membuka peluang jaringan kerjasama antara peserta.

Selain daripada meluaskan jaringan kerjasama dengan pendorong industri halal, ahli-ahli AHAL turut mejalankan beberapa kajian dan mengutip data untuk penyelidikan masing-masing.

Sekitar bulan Mac dan April yang lalu juga beberapa penyelidik AHAL telah mengadakan lawatan strategik ke beberapa Taman Halal di utara Semenanjung dalam usaha untuk membentuk kerjasama. Antara taman halal yang dilawati ialahPenang International Halal Hub (PIHH), Taman Halal Sungai Petani, Kedah dan juga Taman Halal Perlis.

Lawatan bertujuan untuk membentuk kerjasama jangka masa panjang antara pihak pengurusan taman taman halal dan AHAL, dalam membangunkan industri halal di peringkat negeri di kawasan Utara.

Hasil lawatan itu pihak pengurusan dua taman halal iaitu Taman Halal Sungai Petani dan Pulau Pinang telah menyatakan persetujuan awal untuk kerjasama selanjutnya dengan AHAL.

Dekan STML, Prof. Madya Dr. Shahimi Mohtar turut menggalakkan para penyelidik STML untuk terus bergiat aktif di dalam penyelidikan bagi membantu agenda penyelidikan UUM dan negara.

  • 00.png
  • 01.png
  • 1.png
  • 06.png
  • 8.png
  • 10.png
  • 11.png
  • 41.png
  • 51.png
  • 61.png
  • 71.png
  • 81.png
  • 91.png